Kaunter Khas Pendaftaran SKAS di Sri Aman Tarik Perhatian 215 Penduduk, Datuk Francis Tinjau Kelancaran Program

Posted on 26 Jan 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Dalam usaha memastikan lebih ramai penduduk di Bahagian Sri Aman mendapat manfaat daripada Skim Bantuan Asas Sarawak (SKAS), kaunter khas untuk pendaftaran Sarawak Pay (Spay) Global dan SarawakID telah dibuka di Stadium Tertutup Sri Aman.

Pada hari kedua pendaftaran, seramai 215 orang berjaya mendaftar, meskipun cuaca hujan pada sebelah pagi menyebabkan penduduk datang lewat dan mula memenuhi stadium pada sebelah petang.

Kaunter khas ini bertujuan memudahkan penduduk yang belum mendaftar untuk mendapatkan kedua-dua akaun tersebut, yang merupakan syarat utama bagi kelayakan menerima bantuan SKAS.

Selain daripada menyediakan kemudahan pendaftaran, petugas kaunter turut memberikan panduan mengenai penggunaan Spay Global dan SarawakID serta menjawab sebarang pertanyaan dari orang ramai.

Kaunter ini beroperasi selama tiga hari bermula Jumaat dan akan berakhir pada petang Ahad yang mana membuka ruang kepada penduduk Sri Aman yang ingin memanfaatkan bantuan SKAS.

Mereka yang ingin berkunjung ke kaunter ini diingatkan untuk membawa dokumen sokongan seperti kad pengenalan dan telefon pintar bagi mempercepatkan proses pendaftaran.

Program pendaftaran ini turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis yang hadir bagi meninjau kelancaran proses pendaftaran.

Kaunter khas ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam menerima bantuan asas yang disediakan. -EDISI UKAS