BINTULU: Sempena perayaan Tahun Baru Cina, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, bakal menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2025 pada 1 Februari 2025 (Sabtu) bertempat di Restoran Bintulu Dinner World bermula jam 2.00 petang.
Dalam sidang media yang diadakan di Pejabat SUPP Bintulu hari ini, Johnny Pang menekankan bahawa sambutan ini bertujuan mengeratkan hubungan pelbagai kaum di Sarawak.
“Tahun Baru Cina adalah perayaan kebudayaan yang penting, bukan hanya untuk masyarakat Cina tetapi juga untuk seluruh rakyat Sarawak yang terkenal dengan keharmonian kaum. Rumah terbuka ini bertujuan menyatukan komuniti dan berkongsi kegembiraan perayaan dengan semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Menurutnya lagi, acara ini akan turut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Timbalan Presiden SUPP, Dato Sri Lee Kim Shin; dan Setiausaha Agung SUPP, Dato’ Sebastian Ting Chiew Yew, selain pemimpin parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) lain, wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, dan orang awam.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Hii Sieng Hiing, memaklumkan bahawa sambutan kali ini menampilkan elemen tradisional dan moden, menjadikan ia lebih istimewa.
“Selain pelbagai hidangan tradisional perayaan, kami menambah elemen segar seperti teh boba dan ais krim, yang pastinya digemari oleh golongan muda dan dewasa. Tetamu juga boleh menikmati kopi, buah-buahan tempatan, dan pastri yang disediakan secara ‘siapa cepat dia dapat’,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan naga yang menakjubkan, serta persembahan nyanyian dan tarian lagu Tahun Baru Cina oleh artis tempatan.
Selain itu, kanak-kanak dan warga emas yang hadir akan menerima angpau, manakala hadiah pintu disediakan untuk semua tetamu sebagai tanda penghargaan.
Lebih menarik, sambutan ini akan diserikan dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan lebih daripada 10 hadiah eksklusif termasuk TV pintar besar, telefon pintar, tablet, dan peralatan rumah.-EDISI UKAS