KUCHING: Dalam usaha memperkukuh hubungan strategik, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) meraikan media Sarawak melalui Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina yang berlangsung meriah di sini pada malam Jumaat.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina Abd Latif berkata, majlis itu bukan sekadar sambutan perayaan tetapi menjadi platform untuk menghargai peranan media tempatan dalam menyokong inisiatif syarikat.
“Kami komited untuk terus memelihara dan memperkukuhkan hubungan dengan media melalui pelbagai program sepanjang tahun ini. Antara yang dirancang ialah lawatan pengenalan media, bengkel, persidangan Energy Asia 2025 pada bulan Jun, dan penajaan Anugerah Kewartawanan Kenyalang,” katanya.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan tradisi ‘Yee Sang’ yang melambangkan kemakmuran, selain menyediakan ruang interaksi antara wakil media dan pengurusan PETRONAS.
Hadir sama ialah Naib Presiden Komunikasi dan Hubungan Strategik Kumpulan PETRONAS, Nooruddin Abdullah, serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas CCS Solutions, Nora’in Md Salleh.
Dalam ucapannya, Siti Azlina turut memperkenalkan filem web terbaru PETRONAS, Tetap Di Sini atau Stay, arahan pengarah terkenal Caleb Huang.
Filem yang boleh ditonton di saluran YouTube dan Facebook rasmi PETRONAS ini mengetengahkan kisah menyentuh hati seorang kanak-kanak bernama Xiao Bao yang menghadapi perubahan besar dalam hidupnya semasa perayaan Tahun Baharu Cina.
Dengan pelbagai inisiatif dirancang untuk tahun 2025, PETRONAS terus melangkah ke hadapan sebagai rakan strategik media Sarawak, menyalakan semangat kebersamaan di setiap peringkat masyarakat.-EDISI UKAS