Projek Tebatan Banjir Atasi Masalah Banjir Kilat Di Kampung Asyyakirin

Disiarkan pada 25 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Sistem saliran yang tidak mencukupi di Kampung Asyyakirin telah menyebabkan kawasan tersebut sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat, mengakibatkan kesulitan besar kepada penduduk setempat.

Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM23 juta, melibatkan pelbagai inisiatif peningkatan sistem saliran dan pembinaan infrastruktur baru untuk menangani aliran air yang lebih besar semasa hujan lebat.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, projek ini diyakini dapat mengurangkan risiko banjir kilat, selepas terbukti berkesan dalam mengatasi masalah banjir semasa hujan lebat baru-baru ini.

"Projek ini merangkumi kerja-kerja menaiktaraf saliran pembetung (culvert) dan longkang sedia ada, pembinaan longkang baru, pemasangan pintu flap dan pintu skru, pendalaman kolam tadahan air, serta penambahbaikan air larian permukaan (surface run-off),"jelasnya ketika melawat tapak projek tersebut pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, turut menekankan kepentingan kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan longkang dan saliran bagi memastikan aliran air tidak tersumbat.

"Kita perlu memastikan longkang bebas daripada sampah sarap supaya aliran air dapat mengalir lancar, sekali gus mengelakkan banjir kilat,”tambah beliau.

Lawatan itu turut disertai Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bintulu, Hillary Tuah, wakil Pegawai Daerah Bintulu Catherine, Jurutera Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Firas Fadzil, Penghulu-penghulu, Ketua Kampung serta Kapitan.-EDISI UKAS