PADAWAN: Sebanyak 627 keluarga dari 17 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong menerima bantuan tangki air daripada Kerajaan Sarawak dalam usaha mengatasi masalah bekalan air yang kerap melanda, terutamanya semasa musim kemarau.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meringankan beban rakyat di kawasan luar bandar yang sering terjejas akibat gangguan bekalan air.
Bantuan tangki air ini bukan sahaja sebagai penyelesaian praktikal terutama ketika musim kering, tetapi juga memberi harapan baru kepada penduduk untuk menikmati bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi.
“Penggunaan tangki air ini hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan harian, terutamanya ketika menghadapi musim kemarau,” katanya semasa menyampaikan bantuan tangki air tersebut kepada Ketua Kaum Kampung Sorot Bunuk dalam satu majlis di perkarangan Dewan Serbaguna Kampung Sorot Bunuk.
Dalam majlis yang sama, Datuk Dr. Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Mambong bagi tahun 2026 untuk menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Sorot Bunuk.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap, Penghulu Kawasan Penrissen Biperoh Richard Daho, Ketua Kaum Kampung Sorot Bunuk Midah Jud, serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Padawan.
Inisiatif ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar, khususnya di DUN Mambong. -EDISI UKAS