Pastikan Ambang Pemanasan Global Bawah 1.5 Darjah Celsius

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak menggesa rakyat di negeri ini turut memainkan peranan dalam mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah celsius, ambang kritikal untuk mengelakkan kesan bencana.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jika terdapat pengurangan pelepasan karbon di bawah 1.5 darjah celcius iaitu ambang pemanasan global, paras air meningkat tidak akan berlaku.

“Jika tidak, suhu air akan meningkat, terumbu karang akan mati dan ikan akan mati, menyebabkan paras air meningkat. 

“Hari ini saya lihat ikan di Vietnam mati kerana suhu air meningkat, begitu juga dengan Bangladesh. Suhu kawasan itu ialah 42 darjah celcius,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Sarawak Energy Berhad (SEB) di Menara SEB di sini pada Khamis. 

Jelasnya, beliau tidak mahu rakyat panik kerana itu adalah berdasarkan andaian yang boleh berubah-ubah. 

Terdahulu tular di laman sosial mengatakan Kuching antara bandar-bandar utama di Malaysia yang berpotensi untuk “hilang” dari peta dan berada di bawah paras laut menjelang tahun 2050.-EDISI UKAS