Persidangan Media Sarawak Bakal Jadi Acara Tahunan

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 yang buat julung kali pada tahun ini dicadangkan untuk dijadikan acara tahunan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, SMEC 2024
akan berlangsung semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 25 hingga 27 Mei depan.

Menurutnya, persidangan tersebut juga merupakan inisiatif untuk memastikan warga media bergerak seiring dengan kerajaan Sarawak.

"Persidangan ini tepat pada masanya di mana warga media menghadapi revolusi dari tradisional ke arah pemodenan termasuk Sarawak yang bergerak ke arah digital ekonomi.

"Ia masa yang tepat untuk melibatkan warga media sebagai platform penting untuk pihak kerajaan dan rakyat dirapatkan dari segi pemahaman mengenai hala tuju kerajaan Sarawak.

"Jadi saya harap Persidangan Media Sarawak akan jadi acara tahunan negeri melibatkan media di Sarawak," jelasnya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Mengulas mengenai HAWANA 2024, Datuk Abdullah memberitahu, antara pengisian program tersebut adalah pameran berkonsepkan perjalanan perjuangan wartawan sejak tahun 50-an dan 60-an.

“Kami memberitahu kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bahawa konsep pameran adalah tentang perjalanan dan perjuangan wartawan seawal tahun 50-an dan 60-an kerana mereka merupakan kumpulan tertentu yang penting dalam kemerdekaan dan pembentukan Sarawak dan negara,” jelasnya lagi. 

Tambahnya, beberapa anugerah akan diberikan seperti Tokoh Wartawan selain penganjuran acara-acara penting termasuk majlis perasmian dan majlis makan malam yang turut akan dihadiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah, Pengarah UKAS, Samuel Simon, Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak Ali Suhaili, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo dan Timbalan Pengarah UKAS Joachim Paggang Jabong. -EDISI UKAS