KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah menerima kunjungan hormat daripada Fakulti Perhutanan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membincangkan kerjasama dalam merangka dan melaksanakan Projek Pelan Induk Hutan Simpan Kekal Sarawak.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyokong usaha pemuliharaan sumber hutan, memastikan pengurusan hutan yang lestari serta memperkukuhkan perlindungan biodiversiti negeri Sarawak.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Pengurus Besar PUSAKA Zainal Abidin Abdullah berkata bahawa kerjasama ini adalah langkah penting dalam mencapai matlamat pengurusan hutan yang lestari dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Ketua Projek Pelan Induk Hutan Simpan Kekal Sarawak, Dr. Shazali Johari menekankan kepentingan penyelidikan dan inovasi dalam pengurusan hutan yang akan membantu dalam merangka strategi yang lebih efektif untuk pemuliharaan hutan di Sarawak.
“Kunjungan ini diharapkan dapat membawa kepada pelaksanaan projek yang bukan sahaja akan meningkatkan ekosistem, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan,” katanya.
Justeru itu, dengan kerjasama antara PUSAKA dan UPM, kedua-dua pihak komited untuk memastikan bahawa sumber hutan Sarawak diurus secara lestari demi kesejahteraan generasi akan datang. -EDISI UKAS