Program SKAS Bantu Kurangkan Beban Kos Sara Hidup Penduduk Sarawak

Disiarkan pada 23 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak banyak membantu rakyat yang layak memperoleh bantuan kewangan untuk membeli keperluan asas.

Menurut Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat bantuan SKAS disalurkan melalui aplikasi S Pay Global sebagai e-dompet untuk memastikan penggunaan bantuan dilakukan secara tepat dan mengelakkan penyalahgunaan.

“Program seperti ini banyak membantu, khususnya penduduk luar bandar yang kurang pengetahuan dalam membuat pendaftaran,” katanya ketika hadir untuk meninjau kelancaran program Pendaftaran Sarawak ID dan S Pay Global Bagi SKAS Peringkat Daerah Asajaya di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Asajaya di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pejabat Daerah Asajaya kerana telah memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan para penerima bantuan dibantu untuk mendaftar Sarawak ID dan aplikasi S Pay walaupun terdapat beberapa isu yang dikenal pasti semasa operasi di kaunter antaranya tiada akaun Sarawak ID, masalah pengecaman wajah dan kehilangan kata laluan.

Namun ujarnya ia berjaya diatasi oleh pihak penganjur dengan mengambil langkah segera dalam menangani masalah tersebut.

Bagi yang tidak sempat hadir, beliau menjelaskan pendaftaran dan pertanyaan lanjut boleh dilakukan di Pejabat Daerah masing-masing di bahagian Samarahan nanti apabila berakhirnya program SKAS di daerah masing-masing.

Tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyaksikan seramai 1,482 penduduk dari kawasan ini telah hadir untuk mendaftar pada Program Pendaftaran Sarawak ID dan S Pay Global bagi penerima yang berlangsung selama tiga hari.

Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Asajaya. -EDISI UKAS