Billy Serah Tapak Projek Jalan Pertanian Kawasan Sangat, Kampung Pasir Tengah

Disiarkan pada 23 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah hadir pada sesi penyerahan tapak projek menaik taraf Jalan Pertanian Kawasan Sangat, Kampung Pasir Tengah di sini pada petang Khamis.

Projek yang bernilai anggaran RM1.7 juta itu merangkumi pembinaan jalan sepanjang 671 meter termasuk pembinaan sebuah jambatan serta sebuah culvert dan dijangka siap pada Januari 2026.

Berucap ringkas semasa sesi penyerahan tersebut, Billy memberitahu, projek tersebut dapat memberikan sinar harapan kepada penduduk Kampung Pasir Tengah yang mempunyai kebun-kebun di Kawasan Sangat ini serta memberikan peluang untuk generasi-generasi muda membuka kawasan penempatan di situ nanti.

Tambah beliau lagi, projek jalan pertanian ini juga merupakan salah satu projek pembangunan yang beliau telah diusahakan untuk penduduk di Kampung Pasir Tengah.

Antara projek lain yang sedang berjalan dan akan dicabut tender tidak lama lagi adalah projek menaik taraf jalan pertanian ke Batu Wangkang, pembinaan semula Gereja St Cosmas, Dewan Serbaguna Kampung Pasir Tengah, projek menaik taraf sistem paip graviti, serta penurapan jalan rumah ke rumah.

Hadir sama ke sesi penyerahan tersebut adalah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, wakil pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching William Gregory Kuyang, Pegawai Tadbir Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Badrulhisyam Muta-ee serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

Sejurus selepas itu, Billy juga berkesempatan untuk melawat tapak bagi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) iaitu menaik taraf jalan pertanian Sungai Pate di Kampung Sebako 2. -EDISI UKAS