Jelajah Sarawak: Sebuah Perjalanan Dekatkan Yang di-Pertua Negeri Dengan Rakyat

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal mengadakan siri jelajah ke seluruh pelosok negeri ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, jelajah yang bakal diadakan ini merupakan sebuah perjalanan bagi mendekati rakyat.

Menurutnya, jelajah seluruh Sarawak ini juga akan menyerlahkan lagi keperibadian Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang sememangnya amat kasih serta prihatin terhadap rakyat.

"Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berkeinginan untuk mengadakan siri jelajah ini, dan kini program jelajah ini dalam perancangan pihak kami.

"Kami merancang jelajah ini dijadikan sebagai satu medium untuk mengenali personaliti beliau secara lebih dekat lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Datuk Abdullah menambah, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyatakan keterujaan beliau untuk melawat seluruh Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman yang penuh dengan pelbagai bangsa dan pegangan.

"Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berpegang sebagai Ketua Negeri perlu menjaga perpaduan rakyat di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum di samping sebagai ketua kepada semua kaum di Sarawak," jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Abdullah Saidol juga menjemput secara rasmi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi untuk hadir ke Majlis Makan Malam sempena HAWANA pada 26 Mei depan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

Turut hadir, Pengarah UKAS Samuel Simon, Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak Ali Suhaili, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo dan Timbalan Pengarah UKAS Joachim Paggang Jabong. -EDISI UKAS