DAC Penting Pantau & Selaraskan Projek Pembangunan

Disiarkan pada 23 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN : Daerah Simunjan menyasarkan pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (DAC) sebanyak dua kali setahun sebagai platform penting untuk memantau dan menyelaras projek-projek pembangunan.

Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad menekankan kepentingan mesyuarat ini sebagai medium mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan projek, membincangkan permasalahan setiap projek serta mencari penyelesaian bersama.

"Mesyuarat ini juga merapatkan hubungan antara agensi pelaksana, pemantau projek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk memastikan pembangunan berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan DAC di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Simunjan pada Khamis.

Sanuyah turut mengingatkan bahawa tahun 2025 merupakan tahun terakhir dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebelum memasuki RMK13 pada tahun hadapan.

Oleh itu, beliau berharap projek-projek yang berada dalam fasa pelaksanaan dapat disiapkan sepenuhnya, manakala projek berstatus ‘Belum Mula’ (M) atau ‘Dalam Perancangan’ (DPR) dapat dimulakan segera.

“Dengan fokus pada tindakan di lapangan dan penyelarasan yang lebih erat, kita dapat memastikan semua projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap mesyuarat ini terus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pembangunan yang lebih efektif, memastikan manfaat projek dapat dinikmati oleh rakyat di Daerah Simunjan menjelang akhir tahun 2025.

Turut hadir ke mesyuarat tersebut adalah Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, ADUN Simunjan Awla Dris, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak dan Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli. -EDISI UKAS