BINTANGOR: Golongan belia terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi Daerah Meradong menerusi kerjasama erat antara Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor dan SABERKAS Cawangan Meradong.
Usaha ini disifatkan sebagai pemangkin utama untuk memperkukuhkan perpaduan masyarakat di daerah tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Ding Kuong Hiing memuji inisiatif kedua-dua organisasi ini yang berjaya menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun 2024.
Beliau menyifatkan usaha ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara belia tetapi juga membina asas kukuh untuk perpaduan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
“Tahun 2024 telah menyaksikan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada belia tempatan, dan ini adalah peluang terbaik untuk memupuk semangat kebersamaan dan membina jaringan kerjasama yang lebih kukuh.
“Saya berharap usaha ini dapat diteruskan dan ditingkatkan pada tahun 2025,” katanya dalam Majlis Makan Malam Bersama Belia Daerah Meradong Sempena Sambutan Tahun Baharu 2025 di Restoran Hock Hua, pada Rabu.
Sementara itu, Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bawang Assan, Cr Kevin Lau Kor Jie turut meluahkan rasa gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Pemuda SUPP dan SABERKAS.
Beliau menekankan kepentingan belia sebagai tulang belakang kepada kejayaan pembangunan di Daerah Meradong.
“Penyertaan belia dalam program-program seperti ini amat penting. Ia bukan sahaja membuka peluang kepada mereka untuk bergerak aktif tetapi juga memastikan sokongan penuh terhadap agenda pembangunan kerajaan Sarawak,” ujar beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pemuda Parti SUPP Cawangan Bintangor merangkap Timbalan Pengerusi SABERKAS Meradong, Ley Chee Hua serta Pengerusi Pengelola, Cr Yiing Sy Huat.-EDISI UKAS