Kerajaan Sarawak Pinda Undang-Undang Benarkan Sektor Swasta Jana Kuasa 

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meminda undang-undang berkaitan bagi membenarkan sektor swasta mengambil bahagian dalam aktiviti penjanaan kuasa di negeri ini. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memainkan peranan utama dalam hal berkenaan bekalan tenaga melalui penjanaan swasta ini. 

“SEB adalah agensi utama yang membangunkan tenaga, walaupun penjanaan kuasa boleh dilakukan oleh sektor swasta tetapi dalam ekuiti kecil pematuhan dilakukan oleh SEB.

“Tapi mereka boleh membekalkan tenaga sama ada dari segi tenaga solar dan juga penjanaan kuasa yang saya sebutkan tadi dan ini akan menambahkan pengeluaran tenaga kepada grid utama di mana SEB adalah pembekal utama,” katanya. 

Beliau berkata demikin ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri SEB di Menara SEB di sini pada Khamis. 

Premier Sarawak menambah, aspek berkaitan perundangan yang telah dibuat dan dipinda itu dapat membantu masa depan Sarawak dalam membangunkan tenaga boleh diperbaharui.

Tambahnya, dalam masa terdekat, beliau akan ke Bangkok, Thailand bagi berkongsi mengenai pembangunan tenaga dari perspektif Sarawak. 

“Saya berpeluang untuk berkongsi dengan orang-orang di Eropah di Poland dan insyaAllah, saya akan berkongsi lagi di Bangkok mengenai pembangunan tenaga dari perspektif Sarawak terutamanya dalam tempoh peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui ini. 

“Alhamdulillah pandangan kita pun dapat kita kongsi dengan orang luar, Jadi apabila saya pergi ke sana saya hadir mewakili Sarawak dan SEB,”ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Ultiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili.-EDISI UKAS