Kerajaan Sarawak Komited Tangani Isu Kesihatan Mental

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) komited untuk menangani isu-isu kesihatan mental dalam masyarakat.
 
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), kesihatan mental dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 isu sosial utama mempengaruhi masyarakat.
 
Menurutnya, terdapat kaitan antara kebimbangan kesihatan mental dengan isu sosial lain yang sedang mendapat perhatian seperti penyalahgunaan dadah dan alkohol, keganasan rumah tangga, kehamilan remaja, perkahwinan dan perceraian, kesalahan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak, buli, penuaan, gelandangan, jangkitan kelamin, jenayah harta benda, isu dokumen pengenalan diri, jenayah siber dan kemiskinan.
 
“Dengan bantuan rakan strategik yang berkaitan, KPWK bertekad dalam usaha menangani isu kesihatan mental di Sarawak melalui MPS.
 
“Ia akan mencapai matlamat ini dengan melaksanakan program dan inisiatif yang menggunakan rangkaian sokongan yang sesuai dan kukuh,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Wacana Bestari Isu Kesihatan Mental (Isu Bunuh Diri) dan Pelancaran Sarawak Suicide Reporting Card (SASAR), di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Khamis.
 
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah menyatakan pengamal media juga memainkan peranan penting dalam cara pelaporan berita dalam meningkatkan kesedaran dan mengurangkan stigma bunuh diri dalam kalangan masyarakat.
 
Katanya, media disaran untuk melaporkan berita berkaitan tingkah laku bunuh diri secara berhemah, lebih sensitif dan bertanggungjawab bagi mengelak daripada wujudnya ‘kejadian berantai’ terhadap individu berisiko.
 
Hadir sama dalam program itu ialah Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS