ADUN Satok Santuni Komuniti Cina Sempena TBC 2025

Posted on 23 Jan 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki menyantuni peniaga dan pelanggan di sekitar Jalan Nanas dengan menyampaikan buah limau mandarin dan kertas angpau sempena Tahun Baharu Cina 2025.

Beliau turut mengedarkan lebih 500 kad ucapan dan poster perayaan kepada orang ramai di kawasan tersebut sambil menyampaikan harapan agar tahun ini membawa kegembiraan, kesihatan, kekayaan, dan kejayaan kepada semua.

“Semoga tahun ini menjadi tahun yang terbaik untuk semua dari setiap aspek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu pada Khamis.

Program pengagihan bermula di Kafe Thompson, sebelum diteruskan ke sekitar Jalan Nanas dan berakhir di Kafe Old Rex.

Antara pihak yang disantuni termasuk Klinik Kesihatan Chuang, Tukang Gelas, Aluminium Mui Chin, pusat servis kereta Chua Swee Seng serta Pusat Tayar dan Bater Hong Hin.

Dato Ibrahim turut mengambil maklum isu keselamatan di beberapa kedai yang masih dalam pembinaan sepanjang lawatannya.

Inisiatif anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Green Road itu mencerminkan semangat keterangkuman dengan meraikan perayaan tanpa mengira kaum dan bangsa.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abdul Samad Ghani, serta Pengerusi SUPP Cawangan Satok Goh Leng You.-EDISI UKAS