Jambatan Batang Saribas Mercu Tanda Baharu Hubungkan Pesisir Sarawak

Posted on 22 Jan 2025
Source of News: UKAS


PUSA: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam pembangunan infrastruktur dengan terlaksananya kerja-kerja penyambungan akhir Jambatan Batang Saribas.

Ini menandakan pencapaian penting dalam usaha Kerajaan Sarawak memperkukuhkan jaringan jalan pesisir.

Jambatan sepanjang 1.55 kilometer ini bakal menjadi pemangkin utama kemajuan ekonomi dan sosial bagi penduduk setempat, sekali gus merealisasikan visi Sarawak sebagai negeri maju dan berdaya saing.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo menyifatkan pembinaan jambatan ini sebagai sebahagian daripada strategi strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan jalan pesisir sepanjang 896 kilometer yang menghubungkan Sampadi, Lundu hingga ke Miri.

Beliau menegaskan bahawa semua jambatan utama di Sarawak termasuk Jambatan Batang Saribas dibina sepenuhnya dengan peruntukan Kerajaan Sarawak tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini adalah bukti komitmen Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak yang telah berjaya meningkatkan pendapatan negeri sebanyak tiga kali ganda, membolehkan kita melaksanakan projek-projek berskala besar demi kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyambungan Akhir Jambatan Batang Saribas pada Rabu.

Tambahnya, kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan pembangunan bersepadu melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang bertujuan mempercepat pertumbuhan ekonomi kawasan luar bandar dengan penyediaan infrastruktur berkualiti tinggi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir. Ts. Gs. Br. Dr. Cassidy Morris menekankan bahawa penyambungan terakhir jambatan ini menandakan kejayaan besar dalam usaha membangunkan rangkaian jalan pesisir Sarawak yang lebih cekap dan selamat.

“Kami yakin projek ini dapat disiapkan lebih awal menjelang Mac 2025, sekali gus memberikan manfaat lebih awal kepada penduduk,” katanya.

Tambah beliau, jambatan ini bukan sahaja akan menggantikan perkhidmatan feri sedia ada, malah akan memendekkan masa perjalanan di antara Pusa dan Beladin berbanding 30 minit kepada hanya beberapa minit sahaja, memberikan keselesaan dan kemudahan kepada lebih ramai pengguna jalan raya.

Jambatan Batang Saribas dijangka menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi tempatan dengan menyediakan akses yang lebih baik ke bandar-bandar utama, sekolah, klinik, hospital dan pejabat kerajaan.

Dengan nilai kontrak sebanyak RM375.5 juta, projek ini kini telah mencapai kemajuan 91.12 peratus setakat Disember 2024, dengan sasaran awal siap pada Mei 2025 selepas bermula pada Jun 2019.

Dengan slogan ‘We Build For You’, JKR Sarawak menegaskan komitmen untuk membina infrastruktur yang berkualiti tinggi bagi generasi kini dan akan datang.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Chiew Chee Yaw, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohammad Shafizan Kepli dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas. - EDISI UKAS