Lokasi Program Pendaftaran Sarawak ID & S PAY Global Bakal Diperluaskan Di Daerah Bau

Disiarkan pada 22 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Lokasi program pendaftaran Sarawak ID dan S PAY Global untuk penerimaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bakal diperluaskan ke semua kampung dalam Daerah Bau.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, program pendaftaran itu akan dilakukan mengikut setiap zon iaitu Singai, Jagoi, Bratak, Serembu, Krokong, kawasan Cina dan kawasan Melayu.

“Inisiatif tersebut adalah bagi membolehkan penduduk kampung yang tidak berkesempatan untuk hadir ke program berlangsung selama dua hari itu untuk mendaftarkan diri.

“Individu dari kawasan terbabit yang mahir dalam melakukan proses pendaftaran juga akan dipelawa untuk terlibat membantu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan ke program pendaftaran tersebut di Dewan Suarah Bau di sini pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, bagi memastikan kelancaran program berkenaan, sukarelawan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan turun membantu pihak Pejabat Daerah Bau dalam proses pendaftaran.

Dalam tinjauan tersebut, Dato Henry amat berpuas hati dengan kelancaran proses pendaftaran dan menekankan bahawa waktu untuk proses pendaftaran akan dilanjutkan sehingga satu atau dua jam sekiranya masih ada pemohon yang tampil.

Turut mengiringi beliau pada tinjauan adalah Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Nyomek Nyeap, Niponi Undek dan John Nyigor.

Hadir sama, Pemangku Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi dan Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping. -EDISI UKAS