SARIKEI: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) terus komited dalam memperkukuh kelestarian hutan negeri ini melalui pelbagai inisiatif ekonomi baharu, termasuk program karbon hutan yang dijangka menjadi sumber pendapatan baharu untuk Sarawak.
Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad menegaskan bahawa pendekatan tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri tetapi juga membantu melindungi khazanah alam semula jadi untuk generasi akan datang.
“Transformasi digital akan terus menjadi keutamaan melalui penggunaan teknologi seperti COMOS, EFIMS, REVLOG dan EcoHub.
“Inovasi ini akan membantu meningkatkan kecekapan dan daya saing jabatan, selain memperkukuh usaha pengurusan hutan mampan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien kepada pelesen serta industri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Aspirasi Zon Tengah dan Amanat Pengarah Hutan Sarawak 2025 di Dewan Sentral Sarikei pada Selasa.
Dalam komitmen terhadap pemuliharaan hutan, JHS katanya menetapkan sasaran untuk menanam 50 juta pokok menjelang tahun 2025 sebagai langkah memulihara ekosistem hutan negeri ini.
Program pembangunan komuniti seperti perhutanan sosial dan penggunaan hasil hutan bukan kayu (NTFP) juga akan terus diberi tumpuan untuk memastikan manfaat pemuliharaan turut dinikmati masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Datu Hamden turut menyatakan bahawa JHS sedang giat mempersiapkan Sarawak Delta Geopark untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO pada tahun 2026 dengan penilaian dijangka dilakukan pada Julai 2025.
“Bengkel Penilaian Kendiri, program kesedaran bersama komuniti, sekolah angkat geopark serta penyediaan dokumentasi lengkap berdasarkan kriteria UNESCO sedang giat dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan komitmen JHS dalam pensijilan hutan dengan sasaran 3 juta hektar kawasan Lesen Jangka Panjang pada tahun 2025.
Tambah beliau, setakat ini 21 Unit Pengurusan Hutan (FMU) seluas 2.149 juta hektar dan 8 Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) melibatkan 122,800 hektar telah berjaya mendapatkan pensijilan masing-masing.
Walaupun mencatat kejayaan dalam pengurusan hutan, Datu Hamden berkata cabaran seperti penebangan hutan haram serta tekanan pembangunan ekonomi yang memerlukan lebih banyak tanah untuk perladangan, perumahan dan infrastruktur kekal menjadi isu utama yang perlu diatasi dengan pendekatan strategik.
“Perubahan iklim global juga memberi kesan terhadap kestabilan ekosistem hutan kita dan kita perlu berusaha lebih gigih untuk menanganinya,” tambah beliau.
Sebelum majlis berkenaan, Datu Hamden turut merasmikan Pejabat Hutan Wilayah Sarikei yang terletak di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Hutan Sarawak Happsupina Sait, Pegawai Hutan Wilayah Sarikei Ali Lee serta beberapa pegawai kanan jabatan termasuk dari Wilayah Sibu dan Kapit.-EDISI UKAS