KANOWIT: Pasar Nanga Ngemah yang menjadi pusat ekonomi dan pertemuan penduduk setempat bakal menerima nafas baharu melalui projek menaiktaraf tempat letak kenderaan yang kini memasuki Fasa 2.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata projek ini yang dibiayai melalui peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Ngemah 2024 bertujuan melengkapkan infrastruktur yang telah dibina pada Fasa 1 tahun lalu.
Jelasnya, keperluan ini menjadi keutamaan memandangkan kawasan Pasar Nanga Ngemah sering berdepan isu kesesakan parkir terutama bagi guru-guru dari dua buah sekolah berdekatan serta penghuni rumah panjang sekitar.
“Pasar Nanga Ngemah bukan sahaja menjadi pusat ekonomi tetapi juga simbol kehidupan komuniti yang berkembang.
“Dengan adanya tempat letak kenderaan yang mencukupi kami ingin memastikan pengalaman penduduk lebih lancar dan menyenangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan projek Menaiktaraf Tempat Letak Kenderaan Pasar Nanga Ngemah Fasa 2 di Pasar Nanga Ngemah pada Isnin.
Selain itu, visi jangka panjang ADUN Ngemah untuk kawasan ini turut mendapat perhatian.
Sebuah dewan serbaguna telah siap dibina dan kini berfungsi sebagai platform utama bagi penganjuran pelbagai aktiviti komuniti menjadikan Pasar Nanga Ngemah lebih daripada sekadar lokasi perdagangan.
Tinjauan projek turut disertai oleh Inspektor Azrul dari IPD Kanowit, Penghulu Tiong Ming Kiong, Penghulu Pree Minggat serta Timbalan PRS Bahagian Ngemah Ramba Resang.-EDISI UKAS