Awas Jangan Jadi Mangsa Penipuan, 'Scammer' Guna Teknologi AI Untuk Menipu

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dan melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, 'scammer' hari ini semakin bijak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperdayakan mangsa.

"'Scammer' memanfaatkan teknologi AI untuk menyamar nada sebagai keluarga terdekat dan menghubungi mangsa mereka melalui panggilan telefon.

"Mereka turut memperdaya mangsa dengan meyakinkan mangsa untuk memberikan wang atau butiran peribadi mereka," katanya semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri & Sambutan Hari Guru Serta Hari Ibu Kelas Pembangunan Insan KEMAS Miri 2024 di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, Dato Sri Lee berharap orang ramai lebih berhati-hati apabila menggunakan internet atau telefon pintar bagi mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Kita semua mempunyai risiko terdedah kepada penipuan, penipuan yang dilakukan oleh 'scammer' ini berjaya kerana ia menggunakan teknologi canggih dan kelihatan seperti perkara sebenar dan anda tidak dapat menjangkakannya," tambahnya.-EDISi UKAS