Projek ‘Limbang Lawas Local Plan’ 2035 Perlu Diberi Tumpuan

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Projek 'Limbang Lawas Local Plan' 2035 merupakan antara projek di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang perlu diberi tumpuan.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan adanya kajian komprehensif ini mengenai projek ini, ia dapat menjamin kelestarian dan keseimbangan pembangunan di Daerah Limbang dan Lawas dari aspek fizikal dan ekonomi.

“Ini adalah kerana pelbagai projek bakal dan sedang dilaksanakan dengan rancaknya di Daerah Limbang dan Lawas seperti projek perindustrian, jambatan, lapangan terbang, ‘Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Project’ dan Lebuhraya Pan Borneo.

“Selain daripada projek 'Limbang Lawas Local Plan' 2035, terdapat dua lagi projek yang tidak kurang pentingnya iaitu Miri City Local Plan 2035 dan Sibu Town Local Plan 2035,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Warga MUDeNR yang bertemakan ‘Rindoknya Raya’ di sini pada malam Rabu.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut menggesa supaya projek-projek yang siap perlu dinilai atau diteliti penggunaannya.

“Sekiranya projek yang telah siap tersebut tidak dapat digunakan atas sebab sebab tertentu, tindakan segera hendaklah diambil untuk mengatasinya agar ianya dapat dimanfaati oleh rakyat,” tambahnya.

Dalam majlis itu, seramai 10 warga kerja MUDeNR telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023.
Turut hadir dalam majlis itu ialan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Zaidi Mahdi, Timbalan Setiausaha Tetap MUDeNR Hairani Mohamad Ismail serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS