28 JKKK Daerah Betong Terima Dana SejaTi MADANI

Disiarkan pada 22 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Seramai 28 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini menerima bantuan dana melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.75 juta.

Simbolik penyerahan 'mock cheque' disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dalam satu majlis ringkas di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong pada Selasa.

Menurut Datuk Amar Douglas, dana ini disalurkan untuk menyokong pelaksanaan 32 program yang telah mendapat kelulusan, dengan matlamat utama untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

"Program-program yang diluluskan terdiri daripada tiga kategori utama iaitu pertanian dan makanan, pelancongan dan hospitaliti serta jahitan dan kraftangan," katanya semasa berucap.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, atas inisiatif melaksanakan program seumpamanya yang dilihat amat penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar terpelihara dan terus berkembang maju.

“SejaTi MADANI bukan sahaja membawa perubahan kepada komuniti, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk kampung untuk memperbaiki ekonomi mereka melalui program-program yang relevan dan bermanfaat.

"Kita berharap pada tahun ini, permohonan akan dibuka semula untuk JKKK lain yang berminat tetapi masih belum memohon," tambah beliau.

Hadir sama di majlis itu ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkelili Dr. Johnical Rayong Ngipa, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Sarawak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Jasni Jubli, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh serta Ketua Zon PPN Sarawak Zon Sri Aman Radiah Muhamed @ Muhamad.-EDISI UKAS