MWKS Hulur Bantuan CSR Kepada Empat Keluarga

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) komited menghulurkan bantuan kepada empat keluarga melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, masyarakat Sarawak secara amnya sangat prihatin kepada kumpulan rentan dan kumpulan berkeperluan khas di negeri ini.

“Hari ini adalah contoh daripada masyarakat kita yang dikategorikan sebagai kumpulan rentan dan juga bekeperluan khas ini.

“Setiap satu ada cabaran masing-masing dan yang hendak kita lihat ialah kita mahukan sistem sokongan dan mempunyai satu ekosistem di mana ahli masyarakat prihatin kepada kes-kes seperti ini dan sentiasa memberi bantuan apabila diperlukan.

“Dengan cara sedemikian, ini akan memberi erti kata keterangkuman yang sebenar dan tidak ada yang merasa bahawa mereka tidak diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Ramah Tamah bersama CSR MWKS dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di kediaman rasmi Dato Sri Fatimah di sini pada Rabu.

Antara keluarga yang menerima bantuan tersebut ialah keluarga adik Nor Aliff Syukri yang dahulunya ditemui berkeliaran sendirian lebih kurang jam 2 petang pada 12 Februari 2024 seterusnya dibawa ke Balai Polis Padungan dan telah dihantar kembali kepada bapa kandung.

Setelah menerima aduan, pihak JKMS telah melakukan siasatan dengan merujuk ke Klinik Tanah Puteh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lumba Kuda dan Pada 18 Mac 2024, tiga adik beradik dibawa ke One Stop Early Intervention Centre (OSEIC) bagi pemeriksaan dan diagnosis oleh pihak OSEIC.

Seterusnya yang turut menerima bantuan ialah keluarga Tan Mei Ching yang merupakan merupakan penerima Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak bekerja sebanyak RM350 sebulan sejak tahun 2011, keluarga Noor Kamira Benny Karmilan merupakan seorang ibu tunggal lima orang anak dan keluarga Roland penerima Bantuan Kanak-Kanak @ RM750 (P) dan tambahan kadar RM50.

Turut hadir Pengarah JKMS Adana Jed, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) Salmah Jobeli, Ahli MWKS Raja Noor dan Noriah Ahmad.-EDISI UKAS