MIRI: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak, Cawangan Miri, berjaya menganjurkan Program Jom@Coop dan Bicara Ilmu bertemakan “Membina Jambatan Ekonomi: Dari Pasar Miri ke Pasar Dunia” di Eastwood Valley Golf & Country Club pada Selasa.
Program ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo merangkap Ahli Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Willie Mongin.
Dalam ucapan beliau, Datuk Willie menegaskan kepentingan strategi pembangunan dan pemasaran produk tempatan untuk menembusi pasaran global.
“Dengan inovasi dan kerjasama strategik, koperasi dan usahawan tempatan berpotensi menjadi pemacu ekonomi yang kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan pembangunan produk tempatan yang berdaya saing dan strategi untuk menembusi pasaran global.
Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan membuktikan komitmen bersama untuk memperkasakan ekonomi melalui pendidikan, inovasi, dan kerjasama.
Antara pengisian menarik ialah taklimat pencapaian IKMa, sesi bicara ilmu oleh Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) dan perkongsian pengalaman oleh pengasas produk Nang Ori, Awaeang Kwasin.
STATOB turut menekankan peranan pemasaran digital dan rangkaian antarabangsa untuk memperkenalkan produk tempatan ke peringkat global.
Program ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Pasukan Sukarelawan Koperasi (PASKOP) dan anugerah kepada koperasi serta anggota aktif IKMa 2024.-EDISI UKAS