ASAJAYA: Seramai 300 penduduk dari kawasan Daerah Asajaya telah menghadiri hari pertama Program Pendaftaran Sarawak ID dan S PAY Global pada Selasa.
Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Daerah Asajaya untuk penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan bertujuan membantu penduduk yang layak memohon SKAS, selain membimbing mereka dalam mengisi permohonan secara dalam talian dan menyemak status kelayakan.
Daripada 15,183 isi rumah yang layak, seramai 7,011 telah berjaya mendaftar, manakala 8,172 lagi masih belum mendaftar.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin bagi memantau kelancaran program.
Penduduk yang belum mendaftar disarankan untuk hadir ke Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Asajaya sebelum 23 Januari bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menerima bantuan.
Program ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi juga memperkasakan kemahiran mereka dalam kemudahan digital seperti Sarawak ID dan S PAY Global.
Sambutan positif daripada rakyat Asajaya jelas menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap inisiatif kebajikan Kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS