Dewan Mesra Simunjan Bakal Dibesarkan

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMUNJAN: Dewan Mesra Simunjan di sini bakal dibesarkan setelah permintaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris diluluskan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr)Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembesaran dewan ini adalah bagi memberi kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat setempat.

"Kita tidaklah membina baharu tetapi membesarkan dewan ini supaya mempunyai kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat tempatan untuk majlis-majlis atau perayaan-perayaan di mana memberi keselesaan mereka untuk menggunakannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan pada Rabu.

Premier Sarawak menambah, pembesaran dewan tersebut juga melibatkan pembinaan pameran-pameran di luar dewan melibatkan tanah-tanah yang ada di sekeliling dewan.

Mengulas mengenai letupan Gunung Ruang di Sulawesi, ADUN Gedong itu berkata, beberapa penerbangan telah dibatalkan oleh syarikat penerbangan terutamanya melibatkan laluan ke utara Sarawak.

Namun begitu katanya, penerbangan ke Selatan Sarawak tidak terjejas kerana beliau sendiri tidak berdepan masalah ketika terbang pergi dan pulang dari Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan merangkap Pengerusi Pengelola Majlis Awla Dris serta dif-dif kehormat yang lain. -EDISI UKAS