Kerajaan Sarawak Kaji Semula Kenaikan Gaji Penjawat Awam, Beri Faedah Lebih Baik

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak akan mengkaji semula kenaikan gaji penjawat awam di negeri ini yang mana akan ditambah baik bagi memberi lebih banyak faedah kepada golongan tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri akan membuat kajian dalam masa sebulan setengah untuk menambah baik perkara ini agar lebih banyak manfaat akan dinikmati oleh penjawat awam.

“Dalam masa sebulan setengah, kita akan membuat kajian kerana ada implikasi kewangan kerana penjawat awam Sarawak merupakan tanggungan kita.

“Insya-Allah kita boleh menanggung kenaikan gaji penjawat awam kita yang akan saya umum dalam masa sebulan setengah,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Daerah Simunjan 2024 di sini pada Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari dalam pada itu memberi bayangan bahawa kerajaan Sarawak akan menambah satu lagi pakej yang lebih baik kepada penjawat awam seiring dengan kenaikan gaji mereka.

“Untuk Sarawak kita akan kaji butirannya dan saya telah memberi satu ‘signal’ mungkin kita boleh menambah baik sedikit dari apa yang telah ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Dan dalam ini nanti, kita akan ada satu pakej yang akan saya umumkan selepas kita buat kajian.

“Satu hari nanti, saya akan memberi pengumuman secara rasmi apa yang akan kita buat di peringkat Sarawak,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan) Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS