Cadangan Untuk Penggubalan Ordinan Kawal Selia Peguam Syarie Di Sarawak

Posted on 21 Jan 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Satu cadangan telah dikemukakan untuk penggubalan ordinan bagi mengawal selia hal ehwal Peguam Syarie di Sarawak yang meliputi latihan kompetensi, penerimaan masuk peguam syarie, tindakan tatatertib dan perkara-perkara berkaitan lainnya.

Cadangan ini dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menekankan peranan penting peguam syarie sebagai pegawai mahkamah dalam memastikan sistem kehakiman syariah memenuhi objektifnya untuk menegakkan keadilan.

Antara cadangan beliau ialah pengenalan sistem ‘call to the bar’ seperti di Mahkamah Sivil, penubuhan entiti rasmi untuk mengawal selia peguam syarie dan pelaksanaan sistem bantuan guaman oleh Kerajaan Sarawak bagi meringankan beban kewangan rakyat, selaras dengan inisiatif Persekutuan.

“Sistem ‘call to the bar’ bertujuan memastikan hanya individu yang telah menjalani latihan mencukupi dibenarkan untuk mengamalkan undang-undang syariah, melibatkan tempoh praktikal selama 12 bulan di bawah bimbingan pakar undang-undang syariah.

“Peguam syarie memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat undang-undang syariah di Sarawak.

“Selain itu, perkhidmatan bantuan guaman ini akan memastikan golongan kurang bernasib baik mendapat akses yang sewajarnya kepada perlindungan dan bantuan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Syarahan Negarawan sempena pembukaan Tahun Perundangan Syariah di Dewan Majma’ Tunku Abd Halim Mu’adzam Shah di sini pada Selasa.

Turut hadir ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menyatakan keyakinan bahawa usaha-usaha ini akan menyumbang kepada pembinaan sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni di negeri ini.

Melalui inisiatif sebegini, beliau berharap Kehakiman Syariah dapat melaksanakan peranannya secara efektif sebagai institusi yang menegakkan undang-undang Islam di negeri Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, Presiden Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Amran Mat Zain, Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Sarawak, Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan JKSM, dan Ketua-Ketua Hakim Syariah dari Semenanjung Malaysia.-EDISI UKAS