MIRI: Sebanyak 3,000 apron diedarkan kepada peniaga dan orang awam di Bazar Gong Xi Miri 2025.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Bazar Gong Xi Miri.
“Kita pernah mengedarkan apron ketika bulan Ramadan untuk tujuan kebersihan dan kali ini kita ingin mengulangi kejayaan tersebut di bazar ini.
Langkah ini tidak hanya membantu penjaja mengekalkan kebersihan, tetapi juga meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap makanan yang dijual,” katanya ketika mengadakan lawatan di Bazar Gong Xi Miri 2025 di sini baru-baru ini.
Beliau turut memuji perkembangan Bazar Gong Xi Miri yang telah menjadi tarikan utama pelancong dengan lebih 300 gerai disediakan dengan tempoh penganjuran bazar tahun ini dilanjutkan daripada 8 hari kepada 11 hari.
Inisiatif ini, jelas beliau, mampu menarik lebih ramai pengunjung dan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.
Bazar Gong Xi Miri 2025 dilihat sebagai platform terbaik untuk mempromosikan budaya dan ekonomi tempatan, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak dalam sektor pelancongan antarabangsa.-EDISI UKAS