Masyarakat Spaoh Diharap Hargai Perpaduan

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SPAOH: Masyarakat di sini diharap menghargai perpaduan yang sedia ada yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan dan kestabilan kawasan itu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Doulgas Uggah Embas berkata, ini menjadi lebih penting dengan pelbagai usaha sedang dilakukan untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan.

"Harapan kita agar perpaduan ini sentiasa diperkukuh dan dipertingkatkan untuk kita kekal 'Segulai Sejalai' bersama menempuh segala cabaran yang mendatang pada masa depan," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Hari Raya anjuran masyarakat Melayu Kampung Spaoh di sini, baru-baru ini.
 

Datuk Amar Dougkas Uggah menambah, daerah kecil Spaoh khususnya dan Bahagian Betong amnya mempunyai masa depan yang cerah
.

"Di Bahagian Betong seperti di enam bahagian lain kita mempunyai Agensi Pembangunan Bahagian Betong untuk merangka lebih banyak program pembangunan di sini.
 

"Jadi kita tidak boleh membiarkan mana-mana hasrat yang tidak baik menghalang proses pembangunan itu,"
 ujarnya.

Beliau berkata, beberapa projek pembangunan utama di kawasan itu akan disiapkan pada tahun depan.
 

Antaranya STOLport Bebuling, Jambatan Paku, Pusat Giat Mara, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan berhampiran STOLport dan Pusat Internet Komuniti.


"Jadi sambutan seperti Hari Raya adalah satu lagi majlis untuk kita mengeratkan lagi hubungan dan keharmonian kaum,"
 tambahnya.

Pada majlis itu Datuk Amar Douglas Uggah turut mengumumkan projek dewan baharu di daerah kecil itu yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM3 juta.


Beliau turut menyampaikan geran sebanyak RM50,000 masing-masing kepada 10 buah surau di sini manakala Masjid Darul Syifa menerima RM200,000. -EDISI UKAS