Pelantikan Baharu KMKK Perkukuh Kepimpinan Komuniti Di Miri

Disiarkan pada 21 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Pelantikan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan usaha dalam memperkukuhkan kepimpinan di peringkat akar umbi.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, KMKK juga memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat dengan agensi kerajaan adalah asas untuk membina masyarakat yang harmoni dan maju,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian sijil Ketua Masyarakat dan surat penghargaan bagi mengiktiraf sumbangan dan pelantikan baharu pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan anjuran Pejabat Residen Bahagian Miri pada Isnin.

Majlis ini turut mengiktiraf pelanjutan jawatan 14 KMKK lain di Daerah Miri, termasuk Ketua Kaum Usman Suleiman dan Kapitan Chong Khee Fah.

Majlis tersebut juga menyaksikan pelantikan Mohamed Abang Othman sebagai Temenggong Melayu Bahagian Miri bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028 yang menggantikan Allahyarham Dato Abdul Rahman Fadzail.

Dalam pada itu, Wilson Atong Limping pula menerima surat penghargaan sebagai penghormatan atas khidmat cemerlang beliau selama 20 tahun sebagai Temenggong Iban sejak 2004.

Antara pelantikan lain yang diumumkan ialah Penghulu Chai Kuen Ming untuk kawasan Bakam, Liao, Riam dan Lambir, serta beberapa Ketua Kaum baharu di DUN Senadin, termasuk Sharfezza Sulaiman (Kampung Batu 1, Jalan Kuala Baram), Majanah Mohamed Yusope (Kampung Pengkalan Lutong), Tang Tung Ming (Sungai Adong, Padang Kerbau, dan Pujut).

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, ADUN Telang Usang, Dato Dennis Ngau dan Residen Bahagian Miri, Galong Luang.-EDISI UKAS