BINTULU: Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2025 yang berlangsung di Kemena Plaza Hotel menampilkan pendekatan mesra rakyat oleh agensi kerajaan dalam membantu dan mendekati masyarakat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan memerlukan tetapi juga memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat.
“Program ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir, terutamanya semasa perayaan besar seperti Tahun Baru Cina.
“Pendekatan sebegini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina di sini pada Ahad.
Sebanyak RM100 diberikan kepada setiap penerima bersama hamper bernilai RM80.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu Wan Muhammad Hasif Wan Jamari, wakil Pejabat Residen Bintulu Baithy Tini Nikey dan wakil Pegawai Daerah Bintulu Ali Hikmatullah Khan Ali Sabri.-EDISI UKAS