MIRI: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Miri melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bertempat di Stesen Minyak Shell, Permyjaya pada Isnin.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Presiden MKJR Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Dalam ucapannya, Dato Sri Lee menekankan pentingnya meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya terutama semasa musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan.
“Statistik menunjukkan sedikit peningkatan jumlah kemalangan di Sarawak pada tahun 2024 dengan 21,733 kes berbanding 21,418 kes pada tahun sebelumnya.
“Namun, kes kemalangan maut berjaya dikurangkan kepada 362 kes, berbanding 378 pada tahun 2023,” ujarnya.
Beliau turut melancarkan sampul merah bertemakan keselamatan jalan raya, inovasi pertama oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk menyampaikan mesej keselamatan.
Sampul yang tersedia dalam dua bahasa iaitu Mandarin dan Bahasa Sarawak mengandungi peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.
Sebagai langkah tambahan, larangan terhadap penggunaan jalan raya oleh kenderaan berat selama dua hari sebelum dan selepas perayaan Tahun Baru Cina turut diumumkan.
Operasi penguatkuasaan akan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi berkaitan bagi memastikan langkah ini dipatuhi, sekaligus mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas.
Kempen ini juga menampilkan pelbagai inisiatif pendidikan, termasuk Program Pendidikan Permainan Trafik dan Program T-ABC (Kesedaran dan Perubahan Tingkah Laku Pengangkutan), untuk memupuk budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menyeru semua pengguna jalan raya untuk mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab, serta mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan ini.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Marilah kita memastikan setiap perjalanan disambut dengan kegembiraan dan kembali dengan selamat,” katanya.
Hadir sama Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendent Nur Asyikin Abdullah mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik (MOT) TS. Chong Chi Fam yang mewakili Setiausaha Tetap MOT. - EDISI UKAS