MIRI: Ketua Masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat dengan tepat dan berkesan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin mengingatkan bahawa mereka adalah tonggak perpaduan komuniti yang bertanggungjawab membawa suara rakyat ke perhatian pihak berkuasa.
“Ketua masyarakat bukan hanya penyampai maklumat, tetapi juga ejen perubahan yang mampu membantu kerajaan memahami keperluan rakyat.
"Mereka adalah jambatan yang menghubungkan komuniti dengan kerajaan,” ujar beliau semasa Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan dan Surat Penghargaan Ketua Masyarakat di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Isnin.
Dato Sri Lee turut menyeru agar ketua masyarakat terus menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, termasuk menyokong dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memperkukuhkan keharmonian dan kemakmuran Sarawak.
Majlis tersebut menyaksikan pelantikan baharu Abang Mohamed Dato’ Sri Abang Othman sebagai Temenggong Melayu Bahagian Miri untuk tempoh 2025-2028 menggantikan Allahyarham Dato Abdul Rahman Fadzail.
Sementara itu, Wilson Atong Limping menerima surat penghargaan atas sumbangan cemerlangnya sebagai Temenggong Iban selama dua dekad.
Pelantikan lain yang diumumkan termasuk Penghulu Chai Kuen Ming bagi kawasan Bakam, Luak, Riam dan Lambir serta Ketua-Ketua Kaum baharu seperti Sharfezza Sulaiman (Kampung Batu 1), Majanah Mohamed Yusope (Kampung Pengkalan Lutong) dan Tang Tung Ming (Sungai Adong dan Pujut).
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Timbalan Residen Bujang Rahman Seli dan Temenggong Cina Bahagian Miri Yong Vui Seng.-EDISI UKAS