Program Pendaftaran Sarawak ID & S PAY Global Mudahkan Penerimaan SKAS

Posted on 20 Jan 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Program Pendaftaran Sarawak ID dan S PAY Global bertujuan memudahkan penerimaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi golongan yang memerlukannya.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata program ini membantu golongan yang layak untuk menerima SKAS yang mempunyai masalah dalam pendaftaran iaitu Sarawak ID dan aplikasi S PAY Global supaya tidak tercicir.

"Suka saya ingatkan, pembayaran bagi SKAS akan bermula dari 18 Februari 2025 kelak dan penebusan SKAS adalah sepanjang tahun 2025.

"Kerajaan Sarawak telah melaksanakan program SKAS bagi memastikan golongan memerlukan menerima bantuan yang sewajarnya dan program SKAS ini akan memberi fokus kepada penyediaan keperluan asas untuk membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media ketika melakukan tinjauan pelaksanaan Program Pendaftaran Sarawak ID dan S PAY Global di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Isnin.

Ahli Parlimen Kota Samarahan itu turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pejabat Daerah Samarahan dan Pejabat Residen Bahagian Samarahan kerana telah memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan para penerima bantuan dibantu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata bantuan SKAS merupakan satu inisiatif daripada Kerajaan GPS dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang dijangka meringankan beban rakyat Sarawak selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkasakan kebajikan masyarakat.

Tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati hampir 2,000 penduduk kawasan Kota Samarahan hadir untuk mendaftar pada program tersebut yang berlangsung selama tiga hari.

Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak. -EDISI UKAS