PBPM Mohon Inisiatif Penyediaan Perumahan Khas Untuk Bekas Polis

Disiarkan pada 20 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang diketuai Presidennya, Dato' (Dr.) Mokhtar Omar, telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Isnin

Kunjungan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai permohonan inisiatif penyediaan perumahan khas untuk bekas anggota polis di wilayah ini.

Bercakap kepada media, Dato' (Dr.) Mokhtar mengetengahkan keperluan mendesak dan usaha-usaha yang sedang dijalankan untuk memastikan bekas anggota polis memiliki tempat tinggal yang selesa, berpatutan dan mampu milik selepas bersara.

"Terdapat segelintir bekas polis yang menghadapi kesukaran dalam memiliki kediaman selepas bersara.

"Oleh itu, penyediaan perumahan khusus untuk golongan ini adalah satu langkah strategik untuk menghargai jasa mereka dan memastikan kebajikan mereka terjamin,"katanya selepas selesai kunjungan hormat tersebut.

Menerusi perbincangan sama, Dato' (Dr.) Mokhtar memberitahu, pihaknya memohon sokongan kerajaan Sarawak untuk merealisasikan projek berkenaan yang diharap dapat meningkatkan kualiti hidup bekas polis yang telah lama berkhidmat demi keamanan negara.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung Pusat PBPM Mohamed Lokman Mahmud, wakil AMT Pusat PBPM Dato Dr Basant Singh Harcharan Singh, Yang Dipertua PBPM Han Hipeni, Naib Presiden PBPM Mohd Speri Abd Karim, Setiausaha PBPM Zakaria Haron serta beberapa ahli PBPM yang lain

Untuk rekod, Ahli PBPM bukan sahaja terdiri daripada pesara-pesara Polis dan bekas-bekas Polis, malah juga daripada bekas Anggota Polis Bantuan (AP) termasuk Pasukan Kawalan Kampung / Home Guard, Anggota Polis Khas (SC) dan lain-lain unit yang ditubuhkan di bawah akta Polis dan telah berkhidmat ketika zaman darurat iaitu sekitar 1948. -EDISI UKAS