SARIKEI: Seramai 8,135 orang atau 14 peratus daripada jumlah penerima bantuan di Sarawak akan menerima sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2025 yang keseluruhannya berjumlah RM813,500 melalui Program Sejambak Kasih.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Program Sejambak Kasih sempena musim perayaan merupakan program Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dengan melaksanakan pemberian wang sumbangan sebanyak RM100 dan hamper perayaan berjumlah RM80 kepada penerima bantuan sejak lebih daripada 20 tahun lalu.
“Penyampaian sumbangan hari ini berupa wang untuk menceriakan penerima bantuan kebajikan bulanan yang melibatkan pelbagai skim, manakala untuk penerima bantuan berbangsa cina yang lain, sumbangan tambahan ini akan dikreditkan ke dalam akaun masing- masing,” ujarnya..
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sejambak Kasih sempena Tahun Baru Cina 2025 di Pusat Inovasi Sarikei (SIC) pada Isnin.
Jelasnya, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei telah merekodkan seramai 546 penerima bantuan bulanan kebajikan yang berbangsa Cina telah dikenal pasti bagi Bahagian Sarikei.
Namun katanya, majlis pada hari ini berdasarkan kemampuan fizikal dan mobiliti penerima hanya dapat dijemput adalah seramai 100 orang penerima berbangsa Cina.
“Manakala yang selebihnya akan disalurkan melalui akaun bank untuk membantu sedikit sebanyak beban dan menggembirakan klien tibanya musim perayaan utama bangsa Cina dengan jumlah sebanyak RM20,705,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato' Sri Huang Tiong Sii turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50 kepada setiap 100 orang penerima yang hadir yang diwakili Pemanca Chan Phan Chan.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noorhayati Abdul Rahman, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei Uwieng Gimos, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS