MUKAH: Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, tindak balas dan makluman segera daripada ketua-ketua kaum dan masyarakat juga penting terhadap situasi semasa yang berlaku di kawasan masing-masing.
“Kerjasama penduduk yang turut memberi maklumat dan membantu apa yang perlu semasa banjir ini berlaku, amatlah diperlukan dan dihargai.
"Sentiasa berwaspada, lebih-lebih lagi keadaan sekarang cuaca yang tidak menentu, akan keadaan kita di rumah dan kawasan,” katanya ditemui semasa meninjau keadaan banjir pada Ahad.
Sebelum itu, beliau telah turun padang meninjau beberapa kawasan yang ditenggelami air disebabkan pertembungan air pasang besar dan hujan berterusan pada malam Sabtu.
Beliau sangat berpuas hati dengan tindak balas Jawatakuasa Bencana Daerah dan Bahagian Mukah yang dalam terhadap bencana kali ini.
Katanya, jawatankuasa juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan Operasi Bencana dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Kem Belia Mukah bermula jam 12 tengah hari
Selain itu, beliau turut ke kawasan Skim Penempatan Semula Kuala Lama, Kampung Petanak Ulu, Kampung Tellian Ulu dan Bandar Mukah. -EDISI UKAS