BETONG: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina sekolah berpusat di kawasan luar bandar setelah isu penurunan jumlah pelajar yang memberi impak kepada beberapa status sekolah rendah yang berada dalam kategori sekolah kurang murid.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, faktor penduduk yang berhijrah ke bandar akibat keperluan pekerjaan dan desakan ekonomi turut memberi impak kepada penurunan jumlah pelajar di kawasan luar bandar.
“Sebagai langkah untuk mengatasi masalah tersebut kerajaan merancang untuk mewujudkan sekolah berpusat yang dilengkapi dengan kemudahan asrama.
“Dengan adanya sekolah berpusat ini, kita akan dapat merancang pembangunan pendidikan dengan lebih sistematik dan terancang.
“Ini akan membantu memfokuskan pendidikan dan memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang berkualiti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar SK Serembang 2024/2025 di Dewan SK Serembang, Spaoh baru-baru ini.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, kelas Tabika SK Tanjung Assam terpaksa ditutup akibat ketiadaan pelajar dan terpaksa melaksanakan sesi kelas bercantum atau kelas digabungkan akibat kekurangan murid.
Ujarnya, situasi ini amat membimbangkan rakyat yang tinggal di luar bandar di Saribas kerana mungkin ada sekolah yang terpaksa ditutup sekiranya keadaan ini berlarutan.
Dalam hal berkaitan permohonan penambahbaikan infrastuktur sekolah, Datuk Mohammad Razi memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha untuk membantu SK Serembang dalam usaha mereka untuk memohon penambahbaikan kemudahan dan keperluan sekolah.
Pada kemuncak majlis, beliau menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum serta memberikan penghargaan kepada pihak sekolah dan warga pendidik yang telah memberikan sokongan padu kepada kejayaan pelajar-pelajar SK Serembang. -EDISI UKAS