Tarian Singa Simbol Perpaduan Pelbagai Kaum di Sarawak

Disiarkan pada 19 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Tarian singa, seni tradisional kaum Cina, kini menjadi lambang keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum di Sarawak dengan sambutan yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda dari pelbagai bangsa.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menegaskan bahawa tarian singa tidak lagi terbatas kepada satu kaum tetapi kini menjadi budaya yang diterima dan disertai oleh anak muda dari pelbagai latar belakang etnik.

“Malah di Sarawak, kita dapat melihat pemain tarian singa terdiri daripada pelbagai bangsa, bukan sahaja orang Cina.

"Mereka tertarik dengan budaya ini sehingga mahu mempelajari dan menguasainya,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Tarian Singa 2025 anjuran Persatuan Wushu Miri di MyyMall Lutong, pada Ahad.

Beliau turut menekankan bahawa perayaan Tahun Baru Cina yang kini diraikan sehingga sebulan menggambarkan kesinambungan budaya Cina serta penerimaan masyarakat Sarawak terhadap kepelbagaian budaya.

Sementara itu, Dato Sri Lee turut memuji usaha Persatuan Wushu Miri yang aktif menganjurkan pertandingan dan aktiviti berkaitan tarian singa.

Beliau percaya usaha ini bukan sahaja memartabatkan seni tradisional tetapi juga menyemai kesedaran dan minat generasi muda terhadap tradisi tersebut.

“Saya berharap tarian singa dapat menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

"Usaha sebegini wajar diteruskan bagi memastikan warisan budaya ini tidak hilang ditelan zaman,” tambah beliau.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Jurulatih Persatuan Wushu Miri Tiong Ching Chiong, Kapitan Ngieng Hok Diing, Kaunselor Tan Lek Jian yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, serta Kaunselor Kelvin Hii yang mewakili Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang.-EDISI UKAS