ADUN Simunjan Meriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Hijrah Fasa 1

Disiarkan pada 01 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris telah hadir bagi memeriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Hijrah Fasa 1 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampungnya (JKKK) pada Selasa. 

Beliau dalam ucapannya beliau memohon maaf kerana tidak dapat berziarah Raya dari rumah ke rumah tahun ini atas tugasan beliau. 

Sehubungan itu katanya, dengan adanya majlis seperti ini memberi peluang kepadanya meluangkan masa berkumpul serta bermaaf-maafan sesama masyarakat.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa beliau akan memberi sumbangan dana aktiviti tahunan kepada setiap JKKK tahun ini walaupun agak lambat disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya pertandingan busana kanak-kanak kategori lelaki dan perempuan serta pertandingan busana dewasa kategori lelaki dan perempuan yang mana Awla telah diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang. 

Dalam kesempatan itu juga, Awla turut menjemput semua warga Kampung Hijrah Fasa 1 untuk hadir bagi memeriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Simunjan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Mesra Simunjan pada 1 Mei 2024.

Hadir sama Pengerusi JKKK Kampung Hijrah Fasa 1 Buseman Walbat, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali dan Pengerusi Masjid Darul Hijrah Kamel Nor. -EDISI UKAS