MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu memberi fokus dalam mempersiapkan golongan pelapis terutamanya belia untuk memastikan kepimpinan parti itu pada masa hadapan terus kukuh dan relevan.
Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan pentingnya mendidik golongan pelapis dengan kebijaksanaan dan pengalaman supaya dapat mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan terus memacu pembangunan wilayah ini.
Sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah negeri ini, PBB tegasnya perlu memastikan pemimpin muda dilengkapi dengan latihan yang sewajarnya agar mereka bersedia untuk memandu Sarawak ke arah kemajuan yang lebih besar.
Dalam hal ini, beliau menggesa agar latihan kepimpinan terus diterapkan terhadap golongan pelapis tanpa ada rasa iri hati atau kepentingan peribadi dalam kalangan pemimpin sedia ada.
"Kita tidak boleh pentingkan diri sendiri. Bila tiba masanya (untuk berundur), maka pelapis kita, (Pergerakan) Pemuda datang. Jadi, kita mesti memberi latihan kepada Pemuda.
"Saya fikir apa yang penting ialah parti mesti relevan. Kalau ada parti tetapi kepimpinan tidak relevan, bagaimana orang nak ikut? (Kerana) Kita ada Sarawak dan Sarawak ada kekuatan, (jadi) kita mesti jaga Sarawak," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Utara di Hotel Pullman Miri pada Sabtu.
Sementara itu, 12 resolusi penting dibentangkan pada mesyuarat tersebut, antaranya sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Premier Sarawak untuk terus memimpin PBB serta pengukuhan peranan parti sebagai tunjang kestabilan politik Sarawak.
Resolusi lain termasuk cadangan untuk mengekalkan jawatan kepimpinan PBB tanpa dipertandingkan termasuk jawatan Timbalan Yang Dipertua dan Naib Presiden Kanan parti.
Ia termasuk memperkasakan golongan pelapis, menekankan pentingnya pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan Utara Sarawak dengan sasaran untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai hab pelancongan dan pengeluaran minyak serta gas.
Selain itu, mesyuarat turut mencadangkan penambahbaikan sektor perumahan dan infrastruktur lain yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat terutama di kawasan luar bandar.
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Parti PBB Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Ke-16 PBB Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Yang Dipertua Parti PBB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Ke-16 dan Pengerusi Jawatankusa Induk Zon Utara Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang Dipertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Fadillah Yusof, Naib Yang Dipertua Kanan Parti PBB merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Zon Utara Dato Sri Dr Stephen RUndi Utom, Pengerusi Tetap Parti PBB Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak Miro Simuh.-EDISI UKAS