Sambutan Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Kampung Pangkalan Kuap Meriah

Disiarkan pada 01 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Kampung Pangkalan Kuap 2024 anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pangkalan Kuap dengan Masjid Kampung Pangkalan Kuap disambut meriah oleh warga kampung tersebut.

Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) khususnya di kawasan DUN Stakan.

Pelbagai aktiviti diadakan semasa majlis berlangsung antaranya persembahan karaoke lagu Raya dan cabutan bertuah.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cabutan bertuah oleh Pemangku Daerah Samarahan Jerry Zannuddin Bidin kepada semua penduduk kampung yang bertuah.

Menurut Jerry, perayaan Aildilfitri ini memberi ruang kepada semua penduduk kampung merasai pengalaman beraya bersama di samping merapatkan lagi silaturahim dan semangat keakraban dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau turut berharap dengan kemeriahan sambutan pada malam ini, semua warga kampung mengambil kesempatan untuk mengeratkan silaturahim agar semangat kekeluargaan dan perpaduan penduduk Kampung Pengkalan Kuap sentiasa terpelihara selari dengan keharmonian negeri Sarawak yang dinikmati pada
hari ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Hadir sama Pemanca Melayu Daerah Kota Samarahan Seli Hasan, Penghulu Kampung Pangkalan Kuap Buhari Abu Sapian, Ketua Kaum Pangkalan Kuap Sabawi Bahar, Ketua Kaum Kampung Stakan Melayu Mohamad Subari Beni dan Ketua Kaum Kampung Bukit Berangan Rizal Abu Seman. -EDISI UKAS