Percepatkan Pembinaan ICQS Serikin

Disiarkan pada 01 May 2024
Sumber Berita: UKAS




BAU: Perancangan pembinaan Pos Kawalan Sempadan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Serikin perlu dipercepatkan. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembinaan ICQS di Serikin amat penting dari segi pengangkutan dan perhubungan untuk kedua-dua sempadan ini. 

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa lawatan tapak pos ICQS Bau dan Jagoi Babang, Indonesia pada Selasa. 

Sehubungan dengan itu, beliau berharap lawatan bersama agensi-agensi terlibat di ICQS Bau dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar pembinaan ICQS Serikin dapat dibina setaraf dan dilengkapi dengan kemudahan yang secukupnya. 

Menurut Dato Sri Lee lagi, pembinaan ICQS di Serikin nanti dapat merancakkan lagi kemasukan pelancong baik dari segi pelancongan sosial mahupun pelancongan kesihatan. 

Pembinaan ICQS di Serikin sudahpun dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep, Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Awang Morshidi, Pegawai Daerah Bau Constantine Gerald David Jonas serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS