SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis mengalu-alukan sumbangan insentif daripada individu kepada pihak sekolah lebih-lebih lagi dalam meraikan kejayaan pelajar.
Menurut beliau, insentif yang diberikan sempena hari graduasi mahupun majlis apresiasi pelajar dapat membantu kemenjadian pelajar, seperti menyuntik semangat kepada mereka untuk meneruskan kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Graduasi Ke-45 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Undop di sini pada Khamis.
Majlis tersebut menyaksikan beberapa individu tampil untuk menaja insentif kepada pelajar seperti Insentif Galakan Akademik Lee Kua Lim dan Insentif Galakan Akademik Goh Yong Kim.
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu, usaha seperti ini sakaligus menjurus kepada kebajikan pelajar sekolah berkenaan di samping memberi penghargaan kepada mereka yang telah berjaya.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sijil kecemerlangan akademik dan kokurikulum kepada sembilan pelajar Tahun 6 manakala sembilan kanak-kanak Pra Sekolah yang bakal melangkah ke arus perdana turut menerima sijil dan hadiah.
Hadir sama, Guru Besar SJKC Chung Hua Undop Bong Set Khium, Temenggong Kueh Aik Seng, Pemanca Lee Siang Hua, Pemanca Denneil Saweng, Penghulu Mingging Sigan, Kapitan Goh Teo Soon serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS