Pindaan SLO Muktamad, Serah Kepada KESUMA & Penilaian Lanjut Oleh Jabatan Peguam Negara

Disiarkan pada 01 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pindaan terhadap Ordinan Buruh Sarawak (SLO) telah dimuktamadkan dan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di mana langkah seterusnya adalah untuk dihantar kepada Jabatan Peguam Negara bagi penilaian lanjut.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, ia adalah bagi memastikan ianya selari dengan Konvensyen Buruh Antarabangsa dan juga pindaan terbaharu Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang diluluskan di Parlimen pada Mac 2022 serta telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 yang lalu untuk manfaat kedua-dua pihak antara majikan dan juga pekerja.

Jelas beliau, SLO merupakan undang-undang hanya digunakan di Sarawak namun undang-undang ini adalah undang-undang Persekutuan dan apabila sudah dibentang dan dilulus di parlimen, ia tidak perlu lagi dibentang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Berkenaan dengan SLO, kita telah berusaha untuk memuktamadkan pindaan-pindaan pada undang-undang buruh negeri Sarawak dan saya bangga kerana kita telah mendapat persetujuan bersama daripada Kementerian Sumber Manusia di Kuala Lumpur, di mana pindaan tersebut telah dipersetujui dan diajukan kepada kementerian.

"Ia adalah harapan kita bahawa pindaan tersebut akan dibentangkan dalam persidangan parlimen akan datang kerana banyak daripada pindaan tersebut dirangka untuk manfaat pekerja di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 Peringkat Sarawak Anjuran MTUC Bahagian Sarawak di Kuching pada Rabu.

Terdahulu dalam ucapan beliau pada majlis berkenaan, Datuk Gerawat turut memberitahu, antara cadangan pindaan itu adalah cuti paterniti sebanyak tujuh hari kepada pekerja lelaki supaya mereka dapat menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru bersalin dan menyelesaikan urusan seperti pendaftaran anak.

Selain itu menurut beliau, cuti bersalin ditingkatkan daripada 60 hari kepada 98 hari di mana cadangan ini selaras dengan “Maternity Protection Convention 2000” yang memperuntukkan tempoh cuti bersalin hendaklah tidak kurang daripada 14 minggu.

Tambah beliau lagi, pindaan itu juga termasuk pengurangan waktu kerja mingguan dari 48 jam kepada 45 jam untuk meningkatkan produktiviti buruh dan memelihara kebajikan pekerja serta keluarga. -EDISI UKAS