KUCHING: Dion Das Louis, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dari Sarawak yang dikenali sebagai 'Little Bornean Birdie' sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila merai kemenangan berganda bagi kategori Mini Solo National dan Folklore dalam Dance World Cup Malaysia Qualifier.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dion turut menerima Anugerah Best Solo Mini, memperlihatkan lagi bakat luar biasanya.
Menerusi kemenangan ini, Dion layak mewakili Malaysia dalam Dance World Cup Finals di Burgos, Sepanyol pada Julai ini.
Persembahan tarian Dion yang memenangi hati juri diilhamkan daripada tarian tradisional Dayak Iban ‘ngajat’ dan menggabungkan elemen budaya-budaya Sarawak, termasuk 'Ruai' (Burung Kuang Malaysia) dan 'Kenyalang' (Burung Enggang).
Pencapaian Dion menjadi bukti usaha keras dan semangatnya, membawa kebanggaan bukan sahaja kepada Sarawak tetapi juga kepada Malaysia secara keseluruhan.
Tahun lalu, Dion telah membanggakan Sarawak dan Malaysia apabila berjaya meraih dua pingat emas di 27th World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat.
Bersaing dalam Divisyen Junior, beliau cemerlang dalam kategori 'Ethnic Dance' dan 'Photo Shoot Model' di acara yang berlangsung di Long Beach, California. -EDISI UKAS