Warga IPG Kampus Rajang Diseru Laksana Tanggungjawab Diamanahkan Kerajaan

Disiarkan pada 01 May 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Institut Perguruan (IPG) Kampus Rajang diseru agar tidak lupa dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing juga mengingatkan kepada seluruh warga IPG Kampus Rajang agar sentiasa bekerja bersungguh-sungguh, memperkukuhkan nilai integriti, rajin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap amanah yang diberi.

“Apa jua tanggungjawab yang diamanahkan, kita perlu lakukan sebaik mungkin agar rakyat yang berurusan dengan kita berpuas hati dengan perkhidmatan yang kita berikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri (IPG) Kampus Rajang di Dewan IPG Rajang, Bintangor pada Selasa.

Majlis tersebut turut dihadiri hampir 500 orang warga IPG Kampus Rajang yang terdiri daripada pensyarah, pegawai pengurusan, staf sokongan, siswa pendidik, pelajar prasekolah, pekerja swasta dan pengawal keselamatan.

Dalam majlis sama, Datuk Ding turut mengumumkan akan memohon projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2025 untuk pembinaan dewan serbaguna, skrin LED dan penghawa dingin kepada IPG Kampus Rajang Bintangor.

Selain itu, beliau turut menyumbangkan geran khas bernilai RM2000 kepada IPG Kampus Rajang Bintangor bagi tujuan sambutan majlis tersebut.-EDISI UKAS