SIMUNJAN: Warga pendidik di Sarawak khususnya perlu memperkasakan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran yang baharu seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee memberitahu, dunia pendidikan sedang mengalami perubahan pesat yang memerlukan para pendidik untuk terus berinovasi dan beradaptasi dengan teknologi terkini.
"Teknologi dalam dunia pendidikan pada hari ini amat penting ekoran era digitalisasi teknologi yang memainkan peranan besar dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pengurusan sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kolokium Transformasi Pendidikan 3.0 bertemakan ‘Keterampilan Teknologi Pemacu Kualiti Organisasi’ di sini baru-baru ini.
Rodiyah dalam pada itu turut menyambut baik penekanan tema kolokium terhadap digitalisasi dalam pengurusan sekolah dan amalan pengajaran serta pemudahcaraan (PDPC).
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Sekolah Awesome 2023/24, yang merupakan satu pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek termasuk akademik, kokurikulum, pengurusan serta pelaksanaan program-program yang memberi impak besar terhadap kemenjadian murid.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh, Pengerusi Pasukan Pemacu Pendidikan Simunjan Wan Abdullah Wan Abu Bakar, Yang di-Pertua Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Simunjan Bazli Nahrawi dan Pengerusi PPSMS Daerah Simunjan Dr. Nasir Len. -EDISI UKAS